Nak Taaruf Apa?
Beberapa kali saya berkongsi tentang taaruf dengan teman-teman yang masih
bujang dan berkeinginan untuk mendirikan rumah tangga. Perkara yang sering
mereka timbulkan: "Apa yang perlu ditaaruf?"
"Bagaimana cara untuk bertaaruf?" Ini ialah dua persoalan yang biasa
ditimbulkan, terutama bagi mereka yang baru berputik dalam hati untuk
berkira-kira mencari peneman hidup. Apatah lagi bagi mereka yang tidak terdedah
langsung dengan perkara- perkara tentang perkahwinan.
Setelah menetapkan ciri-ciri peneman hidup yang diidamkan, tentunya masih ada
perkara yang perlu diteliti sebelum melangkah ke alam pertunangan.
Secara umumnya, para ulama membahagikan taaruf kepada dua aspek utama. Pertama
bersifat maknawi atau perkara-perkara dalaman bakal peneman hidup dan yang
kedua perkara-perkara luaran bakal peneman hidup tersebut
APA YANG PERLU DITAARUF?
Latar belakang keluarga.
Perkara ini menjadi satu titik yang penting apabila
seseorang memulakan proses taaruf. Hal ini kerana, latar belakang keluarga amat
memberi kesan kepada pembentukan peribadi seorang insan. Akhlak dan tabiat yang
ada pada keluarga pasti akan terpalit kepada peribadi insan, sama ada baik atau
sebaliknya.
Persekitaran dan suasana kehidupan. Umpama sebiji mutiara, semakin dalam dasar
laut yang diteroka, maka semakin bernilai mutiara tersebut. Bukan kerana
kedalaman laut yang menyebabkannya mahal, akan tetapi persekitaran dan suasana
dasar laut yang baik tersebut memberikan mutiara tersebut nilai yang jauh lebih
berharga.
Begitulah apabila ingin mencari peneman hidup, persekitaran dan suasana
kehidupan insan memberikan kesan. Seorang anak gadis yang membesar di sebuah
perkampungan madrasah sebagai seorang anak tuan guru yang mementingkan nilai
didikan dan agama, pasti berbeza dengan anak gadis yang dibesarkan dengan
kemewahan dan keduniaan serta ditambah dengan teman-teman yang tiada arah
tujuan. Begitulah pentingnya persekitaran dan suasana dalam pembentukan insan.
Tahap pendidikan.
Saya pernah menyebut kepada seorang sahabat, "Galakkan isteri untuk terus
melanjutkan pelajaran walaupun dia seorang suri rumah, kerana daripada dialah
anak-anak kita terdidik." Peri penting tahap pendidikan bakal pasangan
mungkin tidak dapat dihidu ketika masih hidup berdua, saat belum dikurniakan
cahaya mata. Tetapi, selepas direzekikan menimang cahaya mata, tahap pendidikan
suami dan isteri banyak mempengaruhi pembesaran anak-anak. Maka, memilih
pasangan yang berpendidikan bermaksud kita telah memulakan langkah untuk
mendidik keluarga.
BAGAIMANA TAARUF BERLAKU?
Sebahagian masyarakat kita pada hari ini banyak bergantung kepada media sosial
untuk berkenalan dengan bakal pasangan. Mereka merasakan cukuplah berhubung di
atas talian, mengutus pesanan di Facebook, Whatsapp dan lain-lain medium
perhubungan.
Tanpa menafikan medium yang ada, namun, itu semua belum cukup untuk memenuhi
keperluan taaruf antara kedua-dua pasangan. Oleh sebab itu, para ulama
menganjurkan beberapa langkah untuk meneruskan taaruf sebagaimana yang
diajarkan dalam sunnah Nabi.
Menziarahi bakal pasangan.
Tujuannya bukan untuk memenuhi sunnah ziarah semata-mata,
akan tetapi ia dilakukan dengan tujuan perbincangan (istisyarah) antara bakal pasangan. Hal ini
sebagaimana yang diajarkan kepada seorang lelaki yang meminang seorang wanita
tanpa terlebih dahulu bertemu dan melihat bakal pasangannya. Nabi s.a.w. menyuruhnya
untuk melihat wanita tersebut.
Namun, jika tiada kekuatan, mintalah bantuan daripada ibu dan saudara perempuan
untuk menziarahi bakal pasangan sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah
apabila ingin mengahwini seorang wanita. Baginda meminta Ummu Sulaim untuk
pergi menziarahi wanita tersebut. Beliau kemudiannya menyifatkan wanita
tersebut kepada Rasulullah.
Dengan menziarahi bakal pasangan dengan kehadiran mahram, akan membawa kepada
taaruf yang lebih baik antara kedua-dua pasangan.
Istisyarah (meminta pandangan).
Perkara ini kebiasannya dipandang remeh oleh kebanyakan orang, bahkan ada yang
'takut beristisyarah kerana bimbang akan keputusan yang ada dalam diri untuk
menerima bakal pasangan hilang kerana istisyarah. Istisyarah berperanan
sebagaimana istikharah (memohon petunjuk Allah dalam melakukan sebarang
keputusan). Yang membezakannya adalah, istisyarah dilakukan dengan meminta
pandangan orang sekeliling tentang bakal pasangan yang menjadi idaman, sebagai
contoh ahli keluarga terdekat, jiran tetangga, kawan rapat serta para alim
ulama. Pihak-pihak ini mampu membantu kita mengenali lebih dekat tentang bakal
pasangan seperti mengetahui baik, buruk, kurang dan lebih tentang peribadinya. Semua itu
akan membantu seseorang melakukan keputusan sama ada terus menerima bakal
pasangan tersebut atau sebaliknya.

Comments
Post a Comment